BENGKEL STRATEGI PEMERKASAAN PUSAT KECEMERLANGAN (HICoE & CoE) UiTM

BENGKEL STRATEGI PEMERKASAAN PUSAT KECEMERLANGAN (HICoE & CoE) UiTM

Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Jabatan Penyelidikan dan Inovasi (JPI) telah berjaya menganjurkan Bengkel Strategi Pemerkasaan Pusat Kecemerlangan (HICoE & CoE) UiTM selama tiga hari, bermula pada 7 hingga 9 Januari 2026 bertempat di Colmar Tropicale, Bukit Tinggi, Pahang.

Bengkel ini bertujuan memperkukuh tadbir urus, menyelaras hala tuju strategik serta mempertingkat kesiapsiagaan HICoE dan CoE UiTM dalam menghadapi keperluan penyelidikan nasional khususnya menjelang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Majlis pembukaan bengkel telah disempurnakan oleh YBrs. Profesor Ts. Dr. Norazah Abd Rahman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UiTM. Dalam ucapan perasmian, beliau menekankan keperluan mendesak bagi setiap HICoE dan CoE untuk mempunyai perancangan strategik yang jelas, berfokus dan berimpak tinggi selaras dengan aspirasi universiti dan agenda penyelidikan negara.

Bengkel ini dimulakan dengan sesi scene setting dan hala tuju penyelidikan UiTM yang disampaikan oleh YBrs. Profesor Ts. Dr. Asmah Awal, Pengarah Neksus Penyelidikan UiTM (ReNeU). Beliau menegaskan kepentingan penyelarasan peranan, pengukuhan kolaborasi rentas disiplin serta pemerkasaan ekosistem penyelidikan berteraskan kecemerlangan dan kelestarian.

Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta telah mengikuti pelbagai sesi strategik merangkumi aspek tadbir urus HICoE dan CoE, pengurusan penyelidikan dan kewangan, penerbitan ilmiah, pengkomersialan hasil penyelidikan, serta perkongsian amalan terbaik kecemerlangan HICoE. Bengkel ini turut diperkaya dengan wacana penyelidikan bersama Panel Penilai Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang memberikan pandangan kritikal terhadap kesiapsiagaan UiTM dalam memacu penyelidikan berimpak tinggi.

Selain itu, setiap HICoE dan CoE telah membentangkan pelan strategi masing-masing bagi tahun 2026, diikuti sesi soal jawab dan maklum balas strategik. Perbincangan turut diperkukuh melalui sesi Konsortium Kecemerlangan yang menggabungkan kluster Sains dan Teknologi, Sains Sosial serta Seni dan Kemanusiaan bagi memperkukuh sinergi dan kolaborasi penyelidikan.

Bengkel ini telah dirumuskan dengan sesi pembentangan rumusan bengkel dan ucapan penutup oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), yang menegaskan komitmen pengurusan universiti untuk terus menyokong agenda pemerkasaan HICoE dan CoE sebagai pemacu utama kecemerlangan penyelidikan UiTM.

Secara keseluruhan, penganjuran bengkel ini mencerminkan kesungguhan UiTM dalam memastikan pusat-pusat kecemerlangan universiti kekal relevan, berdaya saing dan berupaya menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ilmu, industri dan masyarakat.

 

Disediakan oleh:

Nurulakma Hairoman
Penolong Pendaftar Kanan
Neksus Penyelidikan UiTM (ReNeU)

 

 

See Details