UiTM PERKUKUH JARINGAN ANTARABANGSA MELALUI KOLABORASI PENYELIDIKAN BERSAMA UNIVERSITY OF ILORIN (UNILORIN) DAN FEDERAL UNIVERSITY OF TECHNOLOGY AKURE (FUTA) NIGERIA

UiTM PERKUKUH JARINGAN ANTARABANGSA MELALUI KOLABORASI PENYELIDIKAN BERSAMA UNIVERSITY OF ILORIN (UNILORIN) DAN FEDERAL UNIVERSITY OF TECHNOLOGY AKURE (FUTA) NIGERIA

Shah Alam, 16 Januari 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Neksus Penyelidikan UiTM (ReNeU), Jabatan Penyelidikan dan Inovasi (JPI) telah menganjurkan Mesyuarat Kolaborasi Penyelidikan bersama University of Ilorin (Unilorin) dan Federal University of Technology Akure (FUTA), Nigeria, bertempat di Bilik Mesyuarat Topaz, Bangunan Wawasan UiTM.

Mesyuarat yang bermula pada jam 12.00 tengah hari ini bertujuan memperkukuh kerjasama strategik antarabangsa dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pembangunan akademik antara UiTM dan institusi pengajian tinggi terkemuka dari Nigeria.

Delegasi pelawat diketuai oleh Vice-Chancellor University of Ilorin, Prof. Wahab Olasupo Egbewole, bersama Vice-Chancellor Federal University of Technology Akure (FUTA), Prof. Adenike Temidayo Oladiji. Turut hadir ialah Prof. Taiwo Timothy, Deputy Vice-Chancellor University of Ilorin serta Abdul wahid, wakil delegasi Unilorin/FUTA bagi lawatan rasmi ke Malaysia.

Sesi mesyuarat dipengerusikan oleh Pengarah ReNeU, Profesor Ts. Dr Asmah Awal, dan dihadiri oleh semua Timbalan Pengarah ReNeU serta Pengarah-Pengarah Entiti Kecemerlangan (CoE) UiTM.

Perbincangan memberi tumpuan kepada potensi kerjasama dalam pelbagai bidang strategik termasuk:
•    penyelidikan bersama dan pembangunan konsortium antarabangsa,
•    pertukaran kepakaran dan mobiliti penyelidik,
•    pembangunan geran penyelidikan bersama, serta
•    penerokaan peluang penerbitan dan inovasi berimpak tinggi.

Profesor Ts. Dr Asmah Awal dalam ucapannya menegaskan komitmen UiTM untuk terus memperluas jaringan kolaborasi global sebagai pemangkin kepada kecemerlangan penyelidikan dan peningkatan visibiliti universiti di peringkat antarabangsa. 

Beliau turut menyatakan bahawa kolaborasi bersama Unilorin dan FUTA berpotensi membuka ruang sinergi baharu, khususnya dalam penyelidikan rentas disiplin yang memberi impak kepada masyarakat dan industri.

Mesyuarat ini mencerminkan kesungguhan UiTM dalam memperkukuh agenda pengantarabangsaan penyelidikan serta menyokong aspirasi universiti untuk menjadi peneraju penyelidikan berteraskan nilai, kelestarian dan inovasi global.

 

Disediakan oleh:

Nurulakma Hairoman
Penolong Pendaftar Kanan
Neksus Penyelidikan UiTM (ReNeU)

 

See Details