MESYUARAT DAN PERBINCANGAN PENGISIAN INSTRUMEN DOKUMEN PENILAIAN KENDIRI ENTITI KECEMERLANGAN (EK) BERSAMA FAKULTI KEJURUTERAAN AWAM UiTM

MESYUARAT DAN PERBINCANGAN PENGISIAN INSTRUMEN DOKUMEN PENILAIAN KENDIRI ENTITI KECEMERLANGAN (EK) BERSAMA FAKULTI KEJURUTERAAN AWAM UiTM

22 Januari 2026 – Neksus Penyelidikan UiTM (ReNeU) telah menganjurkan Mesyuarat dan Perbincangan Pengisian Instrumen Dokumen Penilaian Kendiri Entiti Kecemerlangan (EK) bersama Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA), UiTM bertempat di Bilik Mesyuarat Al-Biruni, Fakulti Kejuruteraan Awam, UiTM Shah Alam.

Objektif utama mesyuarat ini adalah untuk memberi penjelasan terperinci berhubung kaedah pengisian serta mekanisme pengiraan markah dalam dokumen instrumen penilaian kendiri Entiti Kecemerlangan (EK), khususnya yang melibatkan penglibatan staf Fakulti Kejuruteraan Awam. Selain itu, sesi ini turut berfungsi sebagai platform perbincangan dua hala bagi menyelaras kefahaman berkaitan keperluan dokumentasi, bukti sokongan serta pendekatan pemarkahan agar selaras dengan garis panduan yang ditetapkan oleh universiti.

Sesi perbincangan ini telah dihadiri oleh barisan pengurusan dan delegasi Fakulti Kejuruteraan Awam, antaranya Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam, Profesor Ir. Ts. Dr. Che Khairil Izam Che Ibrahim; Timbalan Dekan Penyelidikan, Jaringan Industri dan Alumni (PJIA), Dr. Khairul Kamarudin; serta wakil-wakil pengurusan fakulti yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan Entiti Kecemerlangan (EK). Pihak ReNeU pula diketuai oleh Pengarah ReNeU, Profesor Ts. Dr. Asmah Awal, bersama barisan pengurusan ReNeU.

Melalui sesi perbincangan yang konstruktif, pihak ReNeU telah membentangkan penerangan berkaitan struktur instrumen, mekanisme pengiraan markah serta perkara-perkara kritikal yang perlu diberi perhatian bagi memastikan pengisian penilaian kendiri dapat dilaksanakan secara tepat, konsisten dan berimpak tinggi. Perbincangan turut merangkumi hala tuju (way forward) pelaksanaan penilaian kendiri Entiti Kecemerlangan (EK) di peringkat fakulti bagi memperkukuh tadbir urus, kualiti penyelidikan serta pencapaian kecemerlangan institusi.

Secara keseluruhannya, mesyuarat ini telah mencapai objektif yang ditetapkan dan diharapkan dapat membantu Fakulti Kejuruteraan Awam membuat persediaan yang lebih tersusun dan strategik dalam pengisian dokumen penilaian kendiri Entiti Kecemerlangan (EK), seterusnya menyumbang kepada pemantapan ekosistem penyelidikan dan inovasi Universiti Teknologi MARA.

 

Disediakan oleh:

Nurulakma Hairoman
Penolong Pendaftar Kanan
Neksus Penyelidikan UiTM (ReNeU)

 

See Details