TAKLIMAT POTONGAN CUKAI BERGANDA (DOUBLE TAX DEDUCTION) BAGI INDUSTRI

TAKLIMAT POTONGAN CUKAI BERGANDA (DOUBLE TAX DEDUCTION) BAGI INDUSTRI

24 Jun 2026 – UiTM Shah Alam, Neksus Penyelidikan UiTM (ReNeU) telah bertindak sebagai pemudah cara dalam sesi perbincangan dan taklimat berkaitan Potongan Cukai Berganda (Double Tax Deduction – DTD) yang melibatkan Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) dan Institute of Science (IOS), Pusat Kecemerlangan (CoE). 

Sesi ini diadakan sebagai susulan kepada perbincangan terdahulu bersama pihak Xinsheng Industri bagi meneroka peluang kerjasama penyelidikan dan inovasi yang berpotensi memanfaatkan insentif DTD yang disediakan oleh kerajaan.

Sesi taklimat dan perbincangan tersebut telah dihadiri oleh Pengarah Institute of Science (IOS), Prof. Madya Dr. Noor Fitrah Abu Bakar; Timbalan Pengarah SCI ReNeU, Prof. Madya Dr. Siti Sabariah Buhari; Ketua Geran Antarabangsa RMC, Prof. Madya Dr. Irnie Azlin @ Nur Aqilah Zakaria; Ketua Unit Operasi RMC, Puan Norazlin Suboh; serta Penolong Pendaftar Kanan ReNeU, Puan Nurulakma Hairoman.

Taklimat telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Irnie Azlin @ Nur Aqilah Zakaria yang menerangkan secara terperinci berkaitan mekanisme pelaksanaan DTD, syarat kelayakan, proses permohonan serta manfaat yang boleh diperoleh oleh pihak industri melalui penglibatan dalam aktiviti penyelidikan, pembangunan dan inovasi bersama universiti.

Secara keseluruhannya, sesi taklimat dan perbincangan telah berlangsung dengan lancar serta mencapai objektif yang ditetapkan. Sesi ini telah memberikan kefahaman yang lebih jelas mengenai pelaksanaan insentif DTD dan potensinya sebagai pemangkin kepada pengukuhan kolaborasi strategik antara UiTM dan industri. Diharapkan inisiatif ini dapat menyokong usaha memperluaskan jaringan kerjasama penyelidikan, meningkatkan pemindahan ilmu dan teknologi serta memperkukuhkan impak penyelidikan universiti kepada pembangunan industri dan negara.

 

Disediakan oleh:

 

Nurulakma Hairoman
Penolong Pendaftar Kanan
Neksus Penyelidikan UiTM (ReNeU)