Putrajaya, 21 Ogos 2025 – Pembentangan Kertas Kerja Penyelidikan (KKP) bagi projek MetaPhytoNet – Metabolic Health & Phytochemical Networks Consortium telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Al-Thabrani, Tingkat 7, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Tujuan pembentangan Kertas Kerja Penyelidikan (KKP) ini ialah untuk menyediakan data saintifik yang sahih tentang tumbuhan ubatan tradisional Malaysia.
Projek ini bertujuan membangunkan metodologi penyelidikan yang sistematik bagi menilai potensi herba tempatan melalui analisis saintifik dan penilaian bio-aktiviti terpilih. Hasil kajian dijangka menghasilkan data yang sahih serta asas rujukan yang boleh digunakan dalam pembangunan produk herba yang standard dan berdaya saing.
Kajian ini akan menyumbang kepada pemantapan garis panduan kualiti herba negara, menyokong agenda kesihatan awam, serta meningkatkan reputasi penyelidikan tempatan di peringkat serantau dan antarabangsa. Kolaborasi strategik antara institusi akademik dan industri turut memperkukuh ekosistem penyelidikan herba yang lebih bersepadu.
Sesi pembentangan telah dipengerusikan oleh YBrs. Puan Yogitha a/p V. Muniandy, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kecemerlangan Penyelidikan IPT, KPT. Panel Penilai KKP bagi kumpulan MetaPhytoNet diketuai oleh YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mohamed Isa Abd Majid.
UiTM melalui Jabatan Penyelidikan & Inovasi (JPI) turut diwakili oleh Pengarah ReNeU, Profesor Ts. Dr. Asmah Awal, dan Pengarah RMC, Profesor Dr. Azura Md Ghani, bersama delegasi JPI.
Semoga projek ini terus cemerlang dalam menghasilkan data saintifik yang sahih untuk herba tempatan, menyokong pembangunan garis panduan kualiti herba, serta meningkatkan sumbangan penyelidikan Malaysia di peringkat antarabangsa melalui kerjasama akademia dan industri.
Disediakan oleh:
Nurulakma Hairoman
Penolong Pendaftar Kanan
Neksus Penyelidikan UiTM (ReNeU)