Shah Alam, 11 September 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah melaksanakan Sesi Libat Urus Pengurusan Aset Penyelidikan & Entiti Kecemerlangan (EK Bersekutu) secara hibrid, bersemuka di Dewan Senat UiTM dan secara atas talian melalui pautan Google Meet. Sesi ini memberi penekanan kepada dua agenda utama iaitu memperkukuh pengurusan aset penyelidikan universiti dan memperluas penubuhan EK Bersekutu melalui pengiktirafan Special Interest Group (SIG) di Pusat Tanggungjawab (PTJ).
Pelaksanaan sesi libat urus ini bertujuan membincangkan isu aset penyelidikan yang tidak dapat dikesan serta memastikan tindakan pembetulan diambil mengikut tatacara pengurusan aset alih universiti.
Pada masa yang sama, libat urus ini juga berperanan sebagai platform strategik untuk mengiktiraf SIG sebagai wadah rasmi dalam memperkukuh kepakaran penyelidikan, meningkatkan penglibatan pensyarah, dan memantapkan struktur penyelidikan UiTM.
Pendekatan dua hala ini dijangka dapat mewujudkan tadbir urus aset yang telus, di samping mengangkat SIG sebagai pemacu kecemerlangan penyelidikan dan inovasi universiti.
Sesi ini telah dipengerusikan oleh YBrs. Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Ts. Dr. Norazah Abd Rahman, bersama delegasi JPI yang terdiri daripada YBrs. Profesor Dr. Nor Azura Md Ghani, Pengarah RMC dan YBrs. Profesor Ts. Dr. Asmah Awal, Pengarah ReNeU. Kehadiran turut disertai oleh Dekan-Dekan serta Timbalan Dekan Fakulti, manakala secara dalam talian melibatkan Rektor dan Timbalan Rektor UiTM Kampus Cawangan, menjadikan sesi ini medan perbincangan menyeluruh merentas semua peringkat pengurusan akademik universiti.
Kesimpulannya, sesi libat urus ini mencerminkan komitmen berterusan UiTM dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan secara holistik, merangkumi tadbir urus aset yang berintegriti serta pengembangan kepakaran penyelidik melalui EK Bersekutu. Sinergi kedua-dua agenda ini diyakini akan melonjakkan keupayaan UiTM dalam menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi, memperluas jaringan kolaborasi strategik, serta mengukuhkan kedudukan universiti sebagai peneraju inovasi di persada nasional dan antarabangsa.
Disediakan oleh:
Nurulakma Hairoman
Penolong Pendaftar Kanan
Neksus Penyelidikan UiTM (ReNeU)
