LAWATAN DAN KUNJUNGAN HORMAT JABATAN PENYELIDIKAN & INOVASI (JPI), UiTM KE PLUS MALAYSIA BERHAD

LAWATAN DAN KUNJUNGAN HORMAT JABATAN PENYELIDIKAN & INOVASI (JPI), UiTM KE PLUS MALAYSIA BERHAD

Subang Jaya, 21 Oktober 2025 – Jabatan Penyelidikan dan Inovasi (JPI), Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mengadakan lawatan dan kunjungan hormat ke PLUS Malaysia Berhad bagi memperkukuh hubungan strategik antara universiti dan industri, khususnya dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pembangunan teknologi pintar pengurusan lebuh raya.  Program ini di selaras oleh JPI dengan penglibatan beberapa Pusat Kecemerlangan (CoE) di bawah seliaan Pejabat Neksus Penyelidikan (ReNeU).

Lawatan ini bertujuan untuk meneroka potensi kerjasama strategik antara UiTM dan PLUS Malaysia Berhad dalam bidang penyelidikan bersama, konsultasi teknikal serta pembangunan inovasi berkaitan pengurusan lebuh raya dan teknologi pintar. Ia juga membuka peluang bagi kedua-dua pihak mengenal pasti aplikasi teknologi Big Data dan Kecerdasan Buatan (AI) dalam mengoptimumkan operasi lebuh raya, di samping memperkukuh jaringan industri dan akademia ke arah pembangunan infrastruktur dan inovasi nasional.

Delegasi UiTM telah disambut oleh delegasi PLUS Malaysia Berhad yang diketuai oleh En. Mohamad Rosli bin Ahmad, Liaison Director, Managing Director’s Office, yang hadir mewakili YBhg. Datuk Nik Airina Nik Jaffar, Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad. Turut hadir ialah En. Mohd Azlan bin Mohd Amin, Pn. Norhazlina binti Ahmad, Pn. Nur Shahirah binti Mohd Ali, dan En. Mohd Hisham bin Hamzah, selaku wakil pengurusan dan pegawai kanan PLUS yang terlibat dalam aspek operasi, strategi dan pembangunan kolaborasi industri.

Delegasi UiTM pula diketuai oleh YBrs. Profesor Ts. Dr. Norazah Abd Rahman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), bersama Profesor Ts. Dr. Asmah Awal, Pengarah ReNeU; Profesor Ts. Dr. Hj. Mohd Fadzil Arshad, Pengarah Institute for Infrastructure Engineering and Sustainable Management (IIESM); Profesor Ts. Dr. Jasni Mohamad Zain, Pengarah Institute for Big Data Analytics and Artificial Intelligence (IBDAAI); dan Ts. Mohd Rafizi Rahmat, Pengarah Bahagian Pentadbiran Strategik & Sumber Manusia (BPSSM).  Turut hadir ialah Timbalan Pengarah, Ketua Unit, Penolong Pendaftar Kanan dan staf daripada pelbagai unit di bawah JPI UiTM.

Sesi dimulakan dengan taklimat korporat oleh wakil PLUS yang menerangkan operasi lebuh raya serta inisiatif digitalisasi syarikat. UiTM pula membentangkan potensi kolaborasi penyelidikan melalui tiga pusat penyelidikan utama — IBDAAI, IIESM dan MITRANS, yang menumpukan kepada bidang kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan mampan dan pengangkutan. Perbincangan kedua-dua pihak turut menekankan peluang pelaksanaan projek penyelidikan bersama, konsultasi teknikal dalam pengurusan lebuh raya, serta penerapan teknologi AI dan Big Data bagi meningkatkan kecekapan operasi lebuh raya negara.

Lawatan diakhiri dengan sesi lawatan tapak ke Pusat Kawalan Trafik (Traffic Monitoring Centre) yang memperlihatkan sistem pengurusan trafik berpusat milik PLUS, diikuti sesi bergambar, pertukaran cenderamata dan jamuan ringan.

Program ini menandakan satu lagi langkah proaktif UiTM dalam memperkukuh jalinan kolaborasi strategik bersama industri utama negara, selaras dengan hasrat universiti untuk memperkasa ekosistem penyelidikan berimpak tinggi dan mendukung agenda inovasi nasional.

 

 

Disediakan oleh:

Nurulakma Hairoman
Penolong Pendaftar Kanan
Neksus Penyelidikan UiTM (ReNeU)